Selasa, 16 Mac 2010
Ada Polis Baik, Ada Polis Jahat, Apa Salahnya Didedahkan - Jehan Miskin
Ada polis baik dan ada polis yang jahat, kami hanya karyawan yang mendedahkan hakikat yang wujud dalam masyarakat, demikian luahan kata pelakon Jehan Miskin menerusi sebuah klip video ringkas ketika membangkitkan isu rasuah polis.
"Contoh mudah, polis tidak mahu menunjukkan bahawa mereka adalah perasuah. Untuk melakonkan babak, adegan seperti itu pun, polis akan bertanya, kenapa anda mahu tonjolkan perkara buruk mengenai negara anda?
"Saya kata tidak (bukan niat memburukkan), kita bukannya ingin menunjukkan perkara buruk mengenai negara kita. Kita tunjukkan hal buruk itu kerana ia adalah perkara yang benar-benar berlaku," kata pelakon filem Qaisy dan Laila itu.
Di sana, tambah pelakon yang berdarah keturunan Afghanistan itu, ada polis yang baik dan ada polis yang jahat, dan bukanlah menjadi suatu kesalahan untuk membuat pendedahan seperti itu.
"Jadi, apa salahnya jika kita menunjukkan sikap polis yang jahat itu? Kamilah cermin masyarakat. Daripada karya kami, masyarakat dapat lihat di mana mereka bagus atau tidak, atau kelakar," tambah beliau lagi.
Beliau berkata demikian dalam laman portal YouTube di bawah klip video pendek di bawah program 'Your Grandfather's Road' dengan judul 'Malaysian Film Industry?'.
Tayangan klip video pendek selama 2:58 minit itu turut mengutip beberapa pendapat pemikir, pelakon, pembikin filem termasuk ahli politik negara berhubung industri perfileman negara.
Untuk rekod, filem-filem negara sehingga kini ketandusan dalam menyiarkan jenayah-jenayah rasuah polis. Sebaliknya, filem dan drama Gerak Khas banyak menampilkan sikap-sikap polis yang baik sahaja, di samping pertuturan dialog yang kerap membosankan khalayak. -erapakatan
Langgan:
Catatan (Atom)