Memaparkan catatan dengan label sastera. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sastera. Papar semua catatan

Khamis, 21 Januari 2010

Sastera di Sekolah

Oleh Faisal Tehrani

BIDANG kesusasteraan semakin merosot penerimaan dan penghayatannya di sekolah-sekolah hari ini. Adalah dipercayai kurang dari seribu buah sekolah sahaja lagi yang masih menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu di seluruh negara. Mengapakah sambutan terhadap sastera dikatakan melemah dalam kalangan remaja? Terdapat pelbagai jawapan yang subjektif untuk diketengahkan, namun begitu adalah lebih baik kita hanya menyorot kepada satu atau dua sahaja kemungkinan yang ada.

Sastera kita sebenarnya harus menjadi ‘persuratan’. Terdapat perbezaan yang genting antara sastera yang didasari oleh imaginasi khayal dengan persuratan yang bertunjangkan logik dan ilmu. Hari ini subjek sastera yang didalami oleh remaja di sekolah sangat teknikal dan struktural. Mereka belajar sastera sebagai satu subjek yang disarati maklumat tentang plot, watak dan perwatakan, latar dan sudut pandangan. Pengabaian falsafah dan cita sempurna yang ada dalam karya persuratan semakin dikesampingkan. Cita sempurna ialah keinginan untuk mencapai masyarakat sempurna yang berjaya.

Cita sempurna ini harus ada dalam karya sastera yang baik. Justeru, sebuah karya sastera yang baik ialah karya sastera yang mengandungi ilmu, falsafah dan penyelesaian untuk masyarakat. Tugas menyediakan sikap sosial, dan formula peleraian masalah tersebut jatuh pada pundak pengarang. Oleh kerana itu remaja atau orang dewasa yang mahu menggeluti sastera harus menyedari bidang penulisan dan kesusasteraan adalah disiplin yang memestikan peribadi pengarang itu dinomborsatukan.

Hari ini remaja kurang memahami keperluan dan peranan sastera dalam hidup mereka kerana selain sastera dilihat tiada nilai komersial, sastera juga telah menjadi sebuah subjek yang penuh dengan nilai-nilai khayal dan cerita sia-sia berbanding tugas sebenarnya iaitu menyediakan jalan keluar buat remaja itu sendiri. Cita sempurna dalam karya seperti unsur keilmuan yang mendebatkan sesuatu wacana misalnya tidak lagi mendapat tempat. Sebaliknya cita bencana yang disuguhkan dalam karya. Maka kita melihat sejumlah novel pop yang diuliti remaja membawa mesej kecelakaan dan nestapa sosial yang didramatikkan dengan cerita penuh kebejatan moral dan kehancuran etika. Kisah tentang anak haram, atau kesongsangan gender lebih terpandang berbanding kisah tentang peribadi-peribadi agung seperti Nabi Muhammad saw.

Remaja perlu difahamkan bahawa sastera adalah sumber ilmu (oleh kerana itu karya sastera yang tepu ilmu harus dicadangkan untuk jadi teks di sekolah) dan lebih baik jika ilmu itu adalah inter-disiplin. Ini bermakna remaja boleh sahaja dihidangkan dengan sebuah novel fiksyen sains mengenai penggunaan nuklear sebagai tenaga. Ini akan menjadikan remaja peminat sains dan teknologi tidak berasa asing lagi dengan sastera kerana minat mereka yang mendalam tersebut diraikan dengan baik. Atau boleh saja novel tentang budaya; misalkan seni busana Melayu yang tinggi falsafahnya diaduni dengan ilmu atau maklumat tentang proses mencipta baju atau benang (yakni proses kimiawi), ini sekaligus akan mendorong remaja tergugah imaginasi dan kreativiti mereka. Akan tetapi hari ini teks sastera yang dibekalkan kepada pelajar sudah menjauh dari realiti semasa mereka. Kesenggangan atau kekurangan inilah yang menjadi satu punca utama mengapa remaja merasakan sastera kurang bernilai di mata mereka, dan tampak tidak berguna atau mempunyai fungsi praktis dalam kehidupan.

Remaja juga semakin menjauhkan diri dari sastera kerana cara pengajaran subjek tersebut yang dikatakan membosankan dan lebih berbentuk hafalan tentang pengajaran sesebuah karya. Aspek penghayatan, pencerapan dan pencernaan karya sastera tidak lagi dititikberatkan sehingga menjadikan subjek sastera yang sepatutnya mempunyai maruah yang tinggi direndahkan. Oleh kerana itu kehilangan minat terhadap sastera dalam kalangan remaja tidak semata-mata dapat dituding kepada remaja itu sendiri. Pindahnya minat remaja kepada perkara-perkara yang lebih dekat dengan mereka menunjukkan sastera amat jauh dari mereka. Remaja yang meminati sastera misalnya lebih cenderung memilih bahan bacaan bahasa Inggeris kerana bacaan tersebut kononnya lebih menampung ragam estetika dan citarasa, serta trend semasa.

Untuk mengembalikan minat sastera kepada remaja bukanlah sesuatu yang mudah dan memerlukan komitmen tinggi dari semua pihak. Misalnya, usaha menyuburkan kelab-kelab buku dan budaya membaca bahan tinggi masih lagi janggal di sekolah. Adalah penting kita menegakkan lingkungan kecintaan kepada seni dan budaya tinggi terlebih dahulu yang berpaksikan keilmuan dan keterbukaan mencerap multi pemikiran pada remaja. Dengan cara ini remaja akan sendirinya menyukai ilmu dan karya persuratan yang menampung ilmu akan menjadi kegemaran mereka. Minat terhadap karya sastera (persuratan) dengan sendiri akan tertakhta kemas.

Selain itu dalam banyak keadaan remaja perlu difahamkan bahawa sastera bukan sahaja sumber ilmu inter-disiplin tetapi merupakan warisan dan khazanah bangsa yang akan menjadi dokumentasi penting zaman. Sastera tradisional kita misalnya pernah menjadi benteng dan sekolah pemikiran yang berguna untuk mengekang remaja dari perkara yang tidak bermoral. Kita selalu menemui pantun-pantun nasihat, gurindam dan syair yang didaktis. Tujuan sastera tradisional tidak semata-mata berhibur tetapi adalah untuk mengajar dan menasihat. Pemugaran kembali sastera tradisional di mana ‘tujuan’ pantun dicipta dan peribahasa dihasilkan mesti digagahkan kembali. Pengetahuan guru yang mengajar pula mesti dapat mencapai maksud pengajaran sastera tradisional itu.

Hanya dengan cara mengembalikan kandungan sastera kepada ilmu sahaja jalan yang ada untuk memartabatkan kembali sastera dan sekaligus menarik perhatian remaja semula terhadap karya persuratan. Tanpa keberdayaan tersebut, usaha mendekatkan remaja dengan sastera adalah sia-sia. Ini kerana sastera akan kekal dilihat sebagai khayalan, dan permainan bahasa orang yang nanar.

Dewan Siswa, Oktober 2009.

Isnin, 18 Januari 2010

Perjuangan dan kelangsungan dunia sastera Melayu

Oleh LOQMAN HAKIM

TENTUNYA tahun 2003 lalu dan abad 21 ini merupakan detik manis bagi Dr. Syed Othman Syed Omar apabila dinobatkan Sasterawan Negara. Selepas lebih 30 tahun bergelumang sebagai seorang penulis dan ahli akademik ? menghasilkan 11 novel biasa, empat novel remaja, 184 cerpen dan 364 esei/kritikan sastera ? beliau masih terus bertahan.
Lebih dikenali dengan nama S. Othman Kelantan, beliau membuktikan usia dan perubahan zaman tidak membataskan kemampuannya untuk terus berkarya.
Di sebalik mengiktiraf beliau, abad 21 tidak menjanjikan sebarang kemegahan kepada perjuangan sastera dan bahasa Melayu seandainya para penggiat dan pencintanya tidak bersikap dinamik dan tuntas bergerak mengikut peredaran zaman.
Ternyata perubahan dan cabaran yang perlu dihadapi lebih besar, sama ada dalam negara, serantau dan juga antarabangsa. Dan seandainya sastera negara ini masih bergelumang dengan penulis dan karya yang ada, maka tidak menghairankan bahawa sebenarnya sastera Melayu bersifat statik.
Sepanjang tahun 2003 lalu, beberapa sayembara penulisan seperti Novel Alaf Baru, Peraduan Menulis Cerpen dan Puisi Pelbagai Kaum, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan serta sejumlah peraduan dan anugerah sastera anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), swasta dan persatuan penulis tidak bermakna akan melahirkan penulis dan karya besar.
Biarpun tarikan hadiah kemenangannya dianggap lumayan sehingga mencecah puluhan ribu ringgit, ia tidak memberi sebarang makna apabila karya itu sekadar megah dengan nobat kemenangan. Pada masa yang sama, nasibnya juga tidak ubah seperti karya-karya lain yang tidak dibaca oleh masyarakat dan jualannya pula, menyedihkan.
Fenomena ini merupakan suatu malapetaka kepada dunia sastera Melayu kerana tanpa khalayak yang besar, sastera yang dicanangkan sebagai pencetus pemikiran besar negara dan manusianya, tidak lebih daripada ungkapan akademik berbaur retorik.
Karya atau penulis besar tidak semestinya; malah lazimnya; tidak lahir daripada sayembara penulisan, sebaliknya iltizam dan kesungguhan penulis dalam memenuhi tuntutan berkarya.
Dalam konteks kesusasteraan negara ini, sayembara seolah-olah menjadi katalis kepada penulis, sama ada veteran atau kawalan serta penulis muda dan baru yang masih bertatih. Hinggakan prestij bakat diukur bersandarkan kepada anugerah yang dinilai daripada sayembara penulisan.
Dan, apakah signifikan bagi DBP berterusan menganjur pelbagai pertandingan yang biasanya dikaitkan dengan usaha melahirkan karya-karya bermutu tetapi tidak pernah menguja khalayak membaca. Juga sejauh manakah karya tersebut menarik perhatian pengkritik.
Memadai kah dengan usaha seperti ini dianggap sudah melaksanakannya, sedangkan sastera Melayu dan hanya tidak berupaya mencapai pengiktirafan yang lebih besar daripada Anugerah Sastera Negara atau Hadiah Sastera Malaysia.
Biarpun beberapa buku sastera Melayu telah diterjemahkan ke bahasa-bahasa asing, ia masih tidak mendapat tempat atau pengiktirafan yang besar di gelanggang antarabangsa ? suatu keadaan yang nyata bertentangan sekali dengan pencapaian negara dalam bidang-bidang lain yang mencapai tahap dunia.
Hakikat duka
Nasib malang sastera Melayu sebenarnya tidak pernah menjadi lebih baik, sebagaimana nasib penulis atau penggiatnya yang tidak mencapai tahap atau status glamor atau popular.
Malah statusnya sebagai satu mata pelajaran di sekolah suatu ketika dulu, turun kepada sebahagian komponen mata pelajaran Bahasa Melayu adalah satu tamparan dan hakikat duka yang perlu ditelan, bagai menelan duri tajam.
Lebih memburukkan lagi keadaan apabila para guru mata pelajaran bahasa ini sebenarnya tidak mempunyai minat langsung terhadap kesusasteraan bangsanya sendiri. Lantaran itu juga, tidak menghairankan sistem pendidikan negara selama ini pernah tidak menghasilkan kelompok penulis dan khalayak sastera yang besar.
Lalu, apakah yang telah dilakukan untuk lebih memartabatkan sastera Melayu. Hakikatnya, badan-badan yang menjadi pendukung sastera terlalu sibuk dengan masalah dan urusannya sendiri.
DBP kelihatan lebih memperjuangkan bahasa Melayu di peringkat negeri dan nasional dengan pelbagai kempen, yang nampaknya tidak membuahkan hasil dan kecintaan untuk menggunakannya secara lebih giat dalam pelbagai bidang strategik. Malah kedudukan bahasa itu sendiri semakin tercabar dengan perubahan dasar.
Dalam tempoh sedekad ini juga badan berkanun ini lebih giat menggerakkan usaha perkembangan bahasa dan pengajian Melayu pada peringkat antarabangsa.
Namun apakah sasaran yang pernah ditetapkan oleh DBP untuk menjadikan bahasa kebangsaan ini sebagai bahasa kegunaan serantau dan peringkat dunia seperti di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjadi kenyataan.
Jika disandarkan pada hujah bahawa pengembangan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa akan meningkatkan martabat sastera Melayu, ternyata usaha badan ini tidak memungkinkan suatu hasil yang boleh dibanggakan.
Demikian juga sekian banyak seminar dan persidangan sastera peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa yang dianjurkan masih tidak mengajakkan kedudukan sastera. Sewajarnya pertemuan seperti ini memberikan impak dan pengertian kepada pembinaan sastera Melayu, namun, sehingga kini, tidak ada hasil yang boleh dibanggakan.
Yang pasti ialah dunia akademik dan ilmiah yang mengisi pertemuan itu tidak upaya menggerakkan sastera dan pada suatu tahap seolah-olah ia sendiri terpisah terus daripada kreativiti penulisan sastera.
Pada masa yang sama, apakah pula peranan yang dimainkan oleh persatuan penulis yang bertebaran di seluruh negara. Masih bersifat kenegerian tanpa taring untuk menyengat dan tidak lebih menjadi satu forum percaturan politik berpersatuan yang terlupa agenda sastera.
Gapena selaku badan induk persatuan penulis pula perlu melakukan sesuatu dengan tidak membataskan kegiatan pada Sayembara Deklamasi Puisi, atau pencarian Melayunya di merata dunia semata-mata.
Tidak dinafikan pengukuhan jaringan hubungan berasaskan rasa keturunan memberikan nilai dan pengertian sentimental, tapi sejauh manakah pengisiannya benar-benar memberikan suatu signifikan ? kepada bahasa dan sastera.
Dalam dunia yang berteraskan hasil, sastera Melayu tidak cukup untuk hidup dengan segala perancangan yang kelihatan sempurna di atas kertas. Keinginan menaikkannya tidak terletak pada bahu penulis semata-mata, lantaran itu menghendaki peranan khalayak dan keinginan politik.
Atau, sekali lagi sastera Melayu akan menjadi kembang tidak jadi dan julang tidak tinggi lantaran kegagalan semua pihak terlibat menjadi tenaga penjananya.

(Sumber : Berita Harian (04/01/2004) )

'Allah' dalam sastera cetusan bukan Islam

Oleh: 

Jimadie Shah Othman

Adakah kita bimbang kalimah Allah tidak disebut secara benar? Atau kita bimbang ia disebut secara salah?

Reaksi umat Islam ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember lalu yang membenarkan penggunaan nama Allah dalam mingguan Katholik Herald merupakan kebimbangan jenis kedua.

Dan kebimbangan tokoh-tokoh seperti bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan anggota majlis syura PAS Ahmad Awang, kebimbangan jenis yang pertama.

Pengalaman sastera Malaysia selepas pascapenjajahan - atau secara nakal boleh disebut "era Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)" - memperlihatkan perkembangan menarik yang mungkin boleh dijadikan iktibar terhadap polemik terbaru kalimah Allah di negara ini.

Selepas merdeka, walaupun tidak ramai, tetapi masih terdapat penulis bukan Islam yang menulis karya-karya berunsur Islam, termasuk menggunakan kalimah Allah dalam tulisan mereka.

Nama-nama seperti Raja Rajeswati Seetha Raman, Joseph Selvam dan Lim Swee Tim pada suatu masa juga terlibat mewarnai perkembangan sastera berunsur Islam di Malaysia.

Penulis Uthaya Shankar SB pernah menulis karya bernada Islam, mengisahkan kemelut mualaf yang ingin memeluk Islam dan konsep janji menurut Islam.

Selain mendapat tempat di pelbagai penerbitan, karya-karya pernulis bukan Islam ini turut dimuatkan dalam penerbitan Islam seperti majalah Al Islam, Nur dan Dewan Agama dan Falsafah (tidak lagi beroperasi).

Sementara puisi-puisi yang melafazkan kecintaan kepada tuhan seperti buah tangan penyair Kristian Lebanon, Khalil Gibran pula kadangkala diletakkan sebaris dengan puisi-puisi sufi nukilan Hamzah Fansuri, Amir Hamzah dan Muhammad Iqbal.

Namun, mampukah kecurigaan umat Islam menghambat mereka daripada memperkatakan tentang tuhan sekalian alam, memperkatakannya secara benar? Jawapannya, ya.

"Semasa saya menulis, saya anggap diri saya sebagai seorang penulis Islam. Saya fokus seratus peratus. Niat saya ikhlas.

"Tetapi selepas jadi macam ini (polemik penggunaan kalimah Allah), mungkin saya tidak akan tulis lagi," kata seorang penulis beragama Hindu yang menulis karya-karya berunsur Islam.

Menurut seorang pengkaji sastera Islam, penulis Cina kelahiran Kelantan, Lim Swee Tim - yang pernah menulis sajak-sajak berunsur Islam pada permulaan penglibatannya dalam dunia sastera sekitar tahun 1970-an - juga telah beralih arah kepada tema-tema lain seperti kemanusiaan.

Walaupun karya-karya tersebut barangkali tidak selari dengan format sastera Islam ala DBP - yang berpaksikan pandangan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad - penulis terkenal Faisal Tehrani berpendapat, karya-karya tersebut diterima kerana ia "sangat sederhana dan tidak melibatkan upacara keagamaan."

Pengamat sastera Salleh Rahamad pula berpandangan, perkara tersebut tidak pernah menjadi isu kerana kumpulan terbabit tidak pernah menyifatkan ajaran Islam atau mencemari kesempurnaan sifat-sifat Allah.

Tambahnya, tidak pernah misalnya ada penulis yang menyifatkan Allah seperti penganut Kristian percaya kepada konsep ketuhanan secara ajaran tritunggal.

Dalam dunia seni budaya, saya percaya, hampir keseluruhan anggotanya tidak melihat penglibatan penulis bukan Islam sebagai ancaman terhadap keharmonian Islam.

Tetapi ramai penulis dan sasterawan yang mungkin berpendirian sebaliknya selepas muncul kontroversi luar biasa kes Herald mencabar larangan Kementerian Dalam Negeri. Mereka dihurung kebimbangan yang sama.

Tetapi bagaimana jika kebimbangan dan kecurigaan kita itu barangkali menyebabkan nama Allah tidak lagi disebut - disebut secara benar?

Sekurang-kurangnya, seorang penulis terkenal beragama Hindu - yang menulis sajak secara 'lebih Islam daripada orang Islam' - sudah menzahirkan keengganannya terus berkarya kepada saya.

Siapakah yang akan menanggung dosa ini?
Ahad, 2010 Januari 17



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...