Andai mahu memahami semua peristiwa yang berlaku sejak dua dekad lepas dan membentuk dunia hari ini secara jenaka, novel The Merchant King karya wartawan India, Shakir Hussain adalah pilihan terbaik.
Buku ini yang mencerminkan kehidupannya sebagai wartawan selama 14 tahun di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), merakam peristiwa besar dunia sejak pembebasan Nelson Mandela yang dipenjarakan selama 27 tahun sehingga krisis kewangan global baru-baru ini.
Ketika di UAE, Shakir berkerja untuk Yahoo, Gulf News dan The Gulf Today selain pemberita sambilan Bernama.
Dalam temu bual dengan Bernama di New Delhi, Shakir berkata beliau mengambil masa empat tahun untuk menyiapkan buku itu dengan sebahagian besar masa dihabiskan bagi membentuk watak, peranan mereka dan mengaitkannya dengan isu tertentu dunia tanpa merujuk secara spesifik.
Kisah bermula dengan seorang putera raja bercita-cita tinggi bernama Saqr dari sebuah negara dikenali Balad (bahasa Arab yang secara harfiah bermakna negara), yang belajar di London dan berhasrat kembali untuk memodenkan negaranya di sebuah rantau yang tidak ditentukan sama ada Afrika atau Asia.
Seperti nama negara, pelbagai akronim melucukan ditemui dalam buku itu antaranya sistem keselamatan dalam negeri "Management of Armed Defence, National Emergencies and State Security " atau "MADNESS" (kegilaan) dan syarikat minyak "Big Oil and Gas Upstream Services" atau 'Bogus' (palsu), serta bank "Big Bucks and Borrow & Spend".
Buku itu dipenuhi jenaka yang membuatkan pembaca terhibur dan pada masa yang sama turut mengutarakan cabaran yang dihadapi dunia.
"Kita semua hidup dalam keadaan itu...fahaman ketenteraan, perkauman, pemerintahan kuku besi dan manipulasi yang berterusan. Ini adalah kisah yang kita lihat setiap hari," katanya.
Sekalipun pembaca dapat mengaitkan senario di dalam buku dengan kejadian sebenar, namun tidak ada hubungan langsung kepada personaliti atau negara tertentu, kata Shakir.
Merupakan peminat bekas perdana menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau turut memasukkan isu seperti globalisasi dan perang mata wang di dalam bukunya.
"Dr Mahathir sering berkata globalisasi tidak wajar sekadar mengenai pergerakan modal semata-mata, jika anda percaya dengan globalisasi sebenar orang ramai sepatutnya dapat bergerak bebas...di sesetengah negara ada halangan namun bercakap mengenai globalisasi," katanya dan menambah perkara itu turut digambarkan di dalam buku tersebut.
Shakir yang sedang mencari penerbit di luar India, berasakan semua lapisan masyarakat akan terhibur dengan buku tersebut berdasarkan jalan ceritanya sahaja, namun bagi yang berminat dengan politik, "mereka akan benar-benar menyukainya".
- Bernama
Khamis, 19 April 2012
PAKATAN ANJUR 'KONSERT POLITIK' UBAH
Oleh:Nicholas Wong, Malaysiakini
4:17PM Apr 18, 2012
Untuk satu malam sahaja, pemimpin Pakatan Rakyat naik ke pentas bukan untuk berceramah, tetapi menyanyi dalam "konsert politik" seumpamanya yang dipercayai julung-julung kalinya berlangsung.
Bangunan bersejarah Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur di ibu kota berubah menjadi pentas konsert malam tadi yang menampilkan lagu kempen baru berjudul "Ubah".
Pemimpin gabungan pembangkang mengumandangkan lagu ketika video muzik dimainkan di samping lambaian 700 orang dengan 'rod cahaya' di tangan. Manakala kira-kira seribu orang lagi menontonnya di Internet.
Majlis berjudul "Malam Ubah" itu dihadiri Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar (kanan) dan anggota parlimen Shah Alam Khalid Samad.
Untuk menghadiri pilihan raya umum akan datang, Pakatan secara agresif menggunakan pelbagai cara termasuk penerbitan video muzik, penggunaan jaringan sosial dan saluran perkongsian video Youtube.
DAP sebelum ini memperkenalkan maskot "Ubah" berupa burung berwarna merah dengan logo parti itu dalam pilihan raya umum Sarawak.
Rabu, 18 April 2012
PEMANDU ARTIS DEDAH SKANDAL MELIBATKAN MENTERI?
Pemandu peribadi pelakon terkenal, Zahida Rafik mendedahkan skandal Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Shafie Apdal dalam satu laporan polis pada 13 Mac lalu.
Noor Azman Azemi, 38, yang bekerja sebagai pemandu peribadi Zahida sejak tiga tahun lalu mendedahkan skandal itu dalam laporan polis terhadap Zahida yang menuduhnya melarikan wang RM200,000 milik Zahida.
Tuduhan Zahida terhadap Noor Azman itu pernah dilaporkan sebuah akhbar pada 3 Mac lalu.
Menceritakan dalam laporan itu, Noor Azman berkata, ketika berada di rumahnya di Flat PKNS Ampang, beliau didatangi (tidak dinyatakan tarikh) beberapa orang termasuk dua orang yang memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis yang bernama Hafiz dan Raj.
“Saya diminta Datuk Shafie Apdhal untuk bekerja sebagai pemandu peribadi kepada Zahida untuk memastikan gerak-geri Zahida dapat dipantau. Datuk Shafie dan Zahida mempunyai hubungan intim antara satu sama lain.
“Sayalah antara orang kepercayaan yang dipercayai. Walaubagaimanapun saya diminta Datuk untuk melaporkan segala langkah Zahida kepada Datuk.
“Datuk akan berjumpa dengan Zahida (saya akan memandu dan berurus dengan pemandu Datuk Shafie) secara rahsia di mana-mana hotel sekitar Kuala Lumpur setiap minggu. Pada setiap kali perjumpaan itu Datuk akan menyerahkan wang tunai antara RM100,000 hingga RM200,000.
“Wang tunai tersebut kemudiaanya akan dibawa ke bank oleh saya dan Zahida untuk dimasukkan ke dalam akaun Maybank Zahida di Menara Perkeso Jalan Ampang.
“Pada tarikh 29 Februari 2012, saya tidak diberi apa-apa wang secara tunai dan secara biasa saya tidak pernah diberi wang tunai jumlah besar untuk dimasukkan ke dalam bank tanpa ditemani Zahida.
“Saya hanya dibayar jumlah RM25,693 untuk pembayaran ansuran dua buah kereta mewah dan sebuah banglo di Bukit Indah kepunyaan Zahida,” katanya dipetik dalam laporan polis yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin di lobi Parlimen hari ini.
Zuraida seterusnya berkata, berdasarkan siasatan yang dilakukannya terdapat beberapa transaksi yang dilakukan menteri itu kepada Zahida di antara Oktober 2011 hingga Januari 2012.
“Pada bulan Oktober 2011 sahaja ada dua transaksi iaitu RM36,000 dan RM26,000. Maknanya pada bulan itu sebanyak RM58,000 tunai yang diambil Noor Azman untuk dimasukkan ke dalam akaun Zahida Rafik.
“Pada November 2011 pula terdapat RM118,000 dan pada Disember pula terdapat RM333,000. Pada Januari 2012 RM510,000. Kalau saya jumlahkan kesemuanya ia lebih kurang RM1.4 juta dalam masa empat bulan menteri itu berikan tunai kepada Zahida Rafik,” katanya.
Selain itu, Zuraida mendedahkan Zahida mempunyai sebuah kereta mewah jenis BMW 6 Series, Porshe, Toyota Harrier dan juga rumah bernilai RM2.9 juta. Zuraida kemudiannya mempersoalkan bagaimana menteri itu memperolehi wang tunai sebanyak itu.
“Sebagai menteri beliau bertanggung jawab kepada rakyat Malaysia untuk menjelaskan dari mana sumber wang itu diperolehi untuk diberikan kepada Zahida,” katanya.
Pada 3 Mac lalu, akhbar melaporkan Pelakon Zahida Rafik kerugian RM200,000 dilarikan pemandunya selepas diarah memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun banknya.
Pelakon kacukan Melayu-Pakistan itu turut menjadi bahan bualan di laman blog beberapa tahun lalu apabila digosipkan berkahwin dengan Shafie di luar negara.
TIDURLAH DI DATARAN MERDEKA DENGAN MIMPI INDAH - PAK SAMAD SAID
Tidak cukup tidur sahaja, tetapi mimpilah yang indah-indah, begitu pesan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said kepada mahasiswa yang 'berkhemah' di Dataran Merdeka bagi menuntut pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak lima hari lalu.
Sasterawan berusia 77 tahun itu menyatakan "inilah masanya untuk mereka membetulkan demokrasi".
"Saya menghadiahkan dua beg tidur kepada mereka sebagai simbolik supaya mereka tidur di Dataran Merdeka dan bermimpi yang indah-indah.
"Mimpilah sesuatu yang indah di hadapan, jangan tidur sahaja. Tidur sahaja tidak membawa apa-apa. Tidur dan mimpilah yang indah-indah dan laksanakan mimpi kita itu," katanya.
A Samad sebelum ini juga mendermakan beg tidur dimilikinya sewaktu menunaikan haji dan turut mengambil kesempatan memberikan kuliah berhubung penulisan puisi di situ.
Tokoh yang lebih mesra dengan panggilan 'Pak Samad' turut merayu supaya anak muda dan mahasiswa menyempurnakan apa yang cita-citakannya bagi menjadikan negara ini "tidak dijajah oleh kuasa yang menyakitkan".
"Orang marah bila saya berkata yang memerintah (negara ini) adalah kelompok bangsawan. Tetapi itulah sebenarnya (yang berlaku)... Kenapa dalam tempoh 54 tahun, bangsawan yang harus memerintah," katanya.
Anak Ghabar Baba sertai ceramah
Berucap dengan bahasa penuh sasterawi, A Samad berkata berkata, sekiranya terdapat pihak yang cuba merosakkan khemah mereka, beliau yakin akan ada kelompok akan menggantikan khemah tersebut.
Tindakan tersebut, tambahnya, hanya untuk menakut-nakutkan mahasiswa dan anak muda yang telah berkampung di Dataran Merdeka sejak Sabtu lalu.
Beliau juga mengulangi seruan supaya semua sasterawan lain "berada di tengah-tengah rakyat" seperti yang dilakukannya sekarang.
Sementara itu, keadaan Kelab Sultan Sulaiman (KSS) di ibu negara becak kerana hujan lewat petang tidak menghalang kira-kira 2,000 hadirin menghadiri ceramah pengiraan detik 10 hari menjelang perhimpunan BERSIH 3.0, malam tadi.
Ia turut dikejutkan dengan kehadiran bekas menteri Umno Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir dan anak bekas timbalan perdana menteri Tun Ghafar Baba - Tamrin - yang berucap menyeru semua pihak turun berhimpun ke perhimpunan di Dataran Merdeka pada 28 April.
Tamrin antaranya mendakwa terdapat pemberian kad pengenalan biru kepada warga asing sebagai usaha "menjual negara" semata-mata untuk mengekalkan kemenangan.
"Orang tua-tua kata, menang sorak kampung tergadai, kerana nak menang, sanggup jual negara.
"Oleh itu kamu adalah wira, yang tidak mahu negara terjual kepada orang-orang asing, berbanding pemimpin negara (ini)," kata Thamrin.
'Matahari Kuning, menyalalah'
Menghangatkan suasana, aktivis Hishamuddin Rais menyampai ucapan berapi-api 'menghasut' hadirin turun ke perhimpunan yang dilaporkan akan dibanjiri kira-kira 500,000 orang.
"Zaman bercakap dalam mesyuarat, menghantar memorandum sudah tamat. Sudah tiba masanya kita turun ke jalan raya sebelum pilihan raya," katanya yang mendapatkan sorakan dan tepukan gemuruh hadirin.
Sementara itu, Annie Ooi yang lebih dikenali sebagai "Makcik BERSIH' pula naik ke pentas 'berduet' dengan Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat Dr Mariah Mahmud.
"Kita buat Najib pening, ya?" katanya sambil disambut jawapan "ya", gelak ketawa dan tepukan hadirin.
"Siapa takut dengan polis? Siapa takut dengan Umno? Siapa takut dengan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur?" tanya Annie, warga emas popular dengan kehadirannya dalam perhimpunan BERSIH 2.0 sebelum ini.
Beliau juga kemudiannya melaung dan cuba mempopularkan slogan "kuning, kuning, Najib pening".
Ceramah itu juga turut diselang dengan petikan gitar dan nyanyian aktivis sosial Amin Iskandar yang menyampaikan lagu bertemakan perhimpunan BERSIH bertajuk "Matahari Kuning, Menyalalah" sambil diiringi tepukan hadirin mengikut rentak lagu.
dari: Malaysiakini
DINSMAN CADANG ANUGERAH SASTERAWAN RAKYAT

Penyair terkenal, Dinsman hari ini mencadangkan Pakatan Rakyat mewujudkan satu anugerah kepada golongan budayawan dan pecinta seni tanah air.
Dinsman mencadangkan anugerah itu yang dikenali sebagai Anugerah Sasterawan Rakyat diangkat setaraf dengan Anugerah Sasterawan Negara melalui pemberian wang tunai RM60 ribu sebagai hadiah, dan turut mencadangkan Allahyarham Azizi Abdullah yang merupakan novelis Malaysia yang terkenal sebagai penerima pertama anugerah itu.
“Seniman memohon kepada Pakatan Rakyat agar menganugerahkan anugerah ‘Sasterawan Rakyat’ kepada (Arwah) Azizi Abdullah,” kata Dinsman sewaktu berucap di Konvensyen Pakatan Rakyat kali ketiga di Alor Setar.
Azizi Abdullah telah menghasilkan 29 buah novel dan antaranya ialah ‘Garis Lentang Anak Haram’ (1968), Novel ‘Senja Belum Berakhir’ (1971) memaparkan perjuangan petani di sawah padi (satira perjuangan mendapatkan kemerdekaan negara). Beliau meninggal dunia sewaktu berumur 69 tahun 11 Ogos tahun lalu kerana komplikasi serangan kuman, kencing manis dan masalah buah pinggang.
Kehadiran Tuan Guru Datuk Nik Aziz bersama pimpinan di Konvensyen Pakatan Rakyat.
Selain itu, Dinsmas turut mempersoalkan hubungan dan persefahaman ahli politik dan budayawan yang meluaskan jurang antara mereka dan Pakatan Rakyat.
“Berapa ramai golongan budayawan yang sokong Pakatan? Tak lebih dari 10 peratus.
Ini kerana kebanyakan (budayawan) tidak faham akan maksud kebenaran,” katanya menempelak golongan budayawan yang bernaung di bawah Gapena (Gabungan Penulis Nasional), yang dilihat lebih gemar membodek pemerintah Umno BN.
Beliau turut menggesa agar Pakatan Rakyat menjalinkan hubungan baik dengan golongan budayawan bagi meraih sokongan mereka.
“(Ini kerana) sokongan kepada PR boleh dikira dengan jari kerana layanan Pakatan sendiri yang sibuk berpolitik,” katanya.
MANGGA DAH MACAM PLAYBOY?

Anda tengoklah sendiri majalah mangga ini. Lihatlah gaya artis yang tak cukup kain itu. Bukan mahram pula berpeluk-pelukan seperti suami isteri. Bukan itu sahaja, diselitkan pula kisah nabi di dalamnya. Tidakkah itu biadab dan kurang ajar? Sokong maksiat sokong kebaikan!!
Inilah majalah Playboy Malaysia yang merangsang nafsu syahwat anak-anak muda. Mana Hasan Ali yang nak bela Islam?
sumber: TUK KIYAI-ISU SEMSA
RUSUHAN SENI
Dalam sejarah perubahan tamadun dunia dan siasah tidak kira sama ada era perang dunia, revolusi atau reformasi- satu cabang yang turut dibawa bersama dalam sesebuah perjuangan sehingga meraih kemenangan ialah melalui "kesenian dan kebudayaan".
Ini kerana seni dan budaya merupakan makanan jiwa dan fitrah bagi manusia. Kelahiran manusia itu sendiri adalah suatu seni perjuangan. Berenangnya sperma mencari ovum adalah simbol sebuah perjuangan manakala pembentukan benih menjadi janin sehingga lahir sebagai manusia itu adalah sebuah karya seni hebat yang sangat menakjubkan. Persekitaran membentuk manusia mengamalkan cara hidup yang lama-kelamaan berkembang menjadi sebuah budaya. Justeru, untuk melaksanakan perubahan total dalam sesebuah daulah tidak dapat tidak harus menggabungjalinkan elemen seni dan kebudayaan sebagai salah satu agennya.
Kebobrokan sistem pemerintahan di Malaysia yang semakin parah mendorong rakyat bangkit berani untuk menuntut perubahan. Rakyat Malaysia masih menaruh kepercayaan perubahan itu mampu dilakukan di dalam pilihanraya maka sokongan mereka beralih kepada parti politik alternatif. Tuntutan perubahan ini juga turut melibatkan golongan seniman, karyawan ataupun selebriti dunia hiburan tanahair. Fenomena ini dapat dilihat jelas sejak akhir-akhir ini apabila golongan ini sudah berani tampil di atas pentas-pentas program anjuran Pakatan Rakyat. Ramai juga yang mengisytiharkan diri menyertai partai politik. Ini suatu perkembangan yang sangat baik. Kehadiran mereka yang memang mempunyai tarikan dan pengaruh kepada masyarakat sebelum ini seakan menjadi katalis untuk terus berjuang dan menjadi bonus untuk sesebuah partai politik meraih sokongan. Sayangnya penyertaan hangat mereka kemudiannya menjadi sejuk setelah beberapa ketika dan impaknya pula tidaklah mencetuskan sebuah gelombang. Ini kerana kebanyakan mereka yang menyertai Pakatan Rakyat mengambil langkah yang serupa dengan ahli politik yang sedia ada iaitu berceramah. Mereka kebanyakannya telah pun tidak aktif lagi berkarya dan sebahagiannya pula ketika berceramah lebih banyak menceritakan "kejahilan" mereka pada masa lalu sebelum "kembali ke pangkal jalan" menyertai parti politik Pakatan Rakyat.
Seni dan glamour dua benda berbeza. Seni itu suci. Rasulullah S.A.W berpesan kepada sahabatnya Hassan bin Tsabit sang penyair, "Musuh menyerang dengan busur dan panah. Seranglah mereka dengan syair-syair kamu". Mesej yang cuba disampaikan oleh Rasulullah ini jelas - bukanlah suatu dosa menjadi seniman malah bakat istimewa kurniaan Allah itu wajib digunakan sepenuhnya untuk memperjuangkan kebenaran. Yang salah dan sesat adalah silap seniman itu sendiri lantaran gagal dan hanyut dengan pujian seta sanjungan yang mengkhayalkan. Allah menjadikan manusia dengan sejuta keistimewaan dan dengan keistimewaan itulah ia wajib dimanfaatkan oleh insan yang dipertanggungjawabkan sebagai khalifah pentadbir alam. Seni adalah anugerah yang ajaib. Dalam sesebuah peperangan, lagu dan muzik akan dimainkan untuk menaikkan semangat. Malah ketika hari raya Idul Fitri di zaman Rasulullah, acara tarian pedang dipersembahkan sebagai sebuah persembahan kebudayaan. Rombongan hijrah Rasulullah ke Madinah juga telah disambut oleh penduduknya dengan nyanyian diiringi pukulan tabuh dan rebana. Begitulah pengaruh seni dan budaya di dalam kehidupan.
Seniman harus setapak lebih awal langkahnya daripada rakyat biasa. Naluri kesenimanannya harus lebih peka mengesan kepincangan persekitaran dan dengan bakat istimewa seniman itulah karya dihasilkan untuk menyedarkan rakyat. Kemunculan para artis di pentas politik untuk berceramah tidak membantu mengembangkan satu lagi jalur perjuangan. Mentelah pula kebanyakan artis ini sudah melewati zaman kegemilangan mereka dan peminat-peminat seangkatan mereka pula sudah lama menjadi "orang baik" iaitu sudah berkahwin, berkeluarga dan kurang keluar bersosial. Peminat-peminat mereka sudah lebih awal "kembali ke pangkal jalan" (mengikut istilah yang selalu mereka gunakan) sebelum mereka lagi. Artis-artis ini tidak perlu berceramah tetapi dirasakan akan lebih hebat jika mereka terus berkarya, mendidik masyarakat tentang seni yang sihat, menghasilkan lagu dan lirik yang mengajak manusia berjuang menegakkan kebenaran dan membenci kezaliman. Bukan tidak ada karya-karya mereka dahulu yang sebegitu tetapi sudah tentulah tidak disiarkan oleh media arus perdana yang lebih suka dengan hiburan kosong dan lembik. Kesempatan inilah yang harus diambil untuk mendekati rakan artis yang lain, yang lebih muda dan berpengaruh untuk menghayati apa yang cuba diperjuangkan.
Golongan artis yang beralih ke medan perjuangan ini harus membuka ruang dan membina acuan kesenian dan kebudayaan yang "baru" untuk rakyat Malaysia agar mereka sedar dan tidak menganggap dunia hiburan ini hanya penuh dengan glamour sahaja. Kumpulkan artis, seniman dan karyawan yang bersama mereka hari ini dan hasilkanlah karya yang jujur. Lagu, lukisan, filem, teater dan berbagai kegiatan seni harus diperbanyakkan dan diperluaskan. Seniman tidak semestinya menyertai partai politik. Ia akan jadi sempit. Karya yang akan lahir cakupannya akan jadi kecil. Mereka perlu meneroka ruang baru.
Lihatlah seniman dan karyawan yang konsisten sejak dahulu menghasilkan karya-karya melawan. Mereka tidak berceramah tetapi menghantar mesej perjuangan dengan seni kreatif. Hishamuddin Rais pernah menghasilkan teater "Tok Ampoo", "Tok Sloo", "Bilik Sulit" dan filem "Dari Jemapoh ke Manchestee". Amir Muhammad dan Fahmi Reza terus menghasilkan dokumentari dan filem pendek.
Malah Fahmi Reza seperti membuka ruang baru dengan pengikut tersendiri melalui acara Occupy Dataran - iaitu duduk santai berdiskusi di Dataran Merdeka sehingga mengundang resah pemerintah. Begitu juga Rahmat Haron, Buddhi Hekayat (Hasmi Hashim), Fared Ayam, Pyanhabib atau Dinsman dengan sajak-sajak mereka yang menyengat dan sinis. Black (Amin Iskandar) dan Nikjidan pernah menghasilkan album kritik sosial dan mereka naik ke pentas dengan gitar, turun berdemonstrasi sebagai seniman menyanyikan lagu-lagu perjuangan. Selain itu ada juga band Dum Dum Tak, Carburetor Dung ataupun Seni Suri Jawi yang menghasilkan lagu-lagu perjuangan mengikut genre mereka. Tidak perlu berceramah. Lagu, puisi, lukisan, filem dan teater juga ibarat api yang bisa meresap ke urat nadi membakar semangat.

Lihat saja bagaimana Sasterawan Negara A.Samad Said (gambar kiri) hari ini diangkat sebagai ikon perjuangan dan dihormati seluruh rakyat Malaysia berbagai lapisan kaum dan peringkat umur kerana "seni" yang dibawa oleh beliau. Pak Samad bukan politisi, beliau terus berpuisi di hadapan khalayak dan sangat yakin dengan peranannya sebagai seniman yang bertanggungjawab menyuluh jalan perjuangan kepada rakyat. Hari ini rakyat mula sedar dan menerima puisi sebagai satu senjata perjuangan.
Ini suatu dalil jelas bahawa seni mampu menggugat sebuah kerajaan yang zalim dan fahaman ini jika dibaja dan dibentuk dengan tersusun oleh gerakan seniman tidak mustahil kerajaan Barisan Nasional akan jatuh dengan lebih cepat. Mungkin agak keterlaluan untuk menyamakannya dengan gerakan Revolusi Kebudayaan cetusan Mao Zedong (tentulah konsepnya juga jauh amat berbeza) tetapi tidak salah kalau gerakan ini digelar "Rusuhan Seni".
*Ronasina dengan nama asalnya, Mohd Affandi Ramli adalah penulis, kartunis dan aktivis.
dari: Merdekareview
BOB KUMAN TERUJA DIZIARAHI PRESIDEN PAS

“Dapat juga saya jumpa Tok Guru,” kata Bob Kuman tatkala menerima kunjungan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di rumahnya di Seksyen 11, Kota Damansara, malam tadi.
Tuan Guru Abdul Hadi dan rombongan termasuk Nazir Masjid Kota Damansara menziarahi Bob selepas menyampaikan kuliah Maghrib di masjid berkenaan.
“Rupa Tok Guru macam arwah ayah saya,” kata Bob sayu sewaktu Tuan Guru memasuki biliknya di apartmen Salvia.
Bob atau nama sebenarnya, Husni Mohd Rawi memberithau arwah ayahnya telah mewakafkan sebuah rumah untuk dijadikan markas PAS di kampung di Negeri Sembilan.Beliau menunjukkan gambar arwah ayahnya kepada Tuan Guru yang disimpan di dalam laptopnya.
“Saya tak minta,” kata Bob sewaktu Ustaz Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menghulurkan sumbangan daripada ahli jemaah dan pihak masjid.
Walaupun kunjungan itu hanya seketika sahaja, namun Bob Kuman yang teruja dengan kehadiran Presiden PAS meminta supaya mendoakan agar kesihatannya bertambah baik.Ustaz Abdul Hadi menasihatkan Bob Kuman supaya banyak bersabar dengan musibah yang dihadapi itu.
Menurutnya, setiap musibah yang merupakan ujian daripada Allah itu akan menghapuskan dosa dan diberikan pahala di atas kesabaran menghadapinya.
Harakahdaily dalam laporan sebelum ini memetik tulisan dalam blog Mazidul Akmal Sidek, personaliti TV3 mengenai Bob Kuman.
Menurut blog itu, Bob kini amat memerlukan mesin dilengkapi tangki oksigen namun setakat ini tidak mampu untuk menyewa keperluan itu.
“Bang, sekarang ini saya hanya ada RM36 dalam akaun simpanan,” bisiknya kepada penulis blog itu.Bob kini sedang berada dalam keadaan lemah, tidak mampu bergerak, apatah lagi untuk keluar dari rumah.
Kepada pembaca yang ingin membantu Bob, sila hubungi Razali di talian 016-2315812 . Manakala akaun Bob (HUSNI MOHD RAWI, Maybank 112371007047)
sumber berita di sini
Langgan:
Catatan (Atom)