Menurut laporan, Indeks Kebebasan Media Malaysia adalah ditangga ke-122, mengatasi jiran-jiran terdekat iaitu Singapura (135), Thailand (137) dan Indonesia (146). Kalau dilihat dari kedudukan indeks ini Malaysia bolehlah berbangga kerana kedudukannya agak baik juga berbanding negara-negara jiran serantau. Biasalah .... kita sering membandingkan kedudukan kita dengan negara-negara yang lebih teruk untuk menampakkan kita ini baik! Paling tidak pun ranking ini adalah lebih baik dari ranking bola kita di tangga 156.
Namun apabila kita melihat realitinya, apakah benar media Malaysia lebih bebas dari media Indonesia? Semasa pilihanraya umum Indonesia yang lalu saya berada di Jakarta untuk melihat secara khusus bagaimana peranan dan 'kelakuan' media di sana melapor suasana pilihanraya. Boleh dikatakan mereka menyiar berita dari semua parti politik termasuklah dari parti-parti 'nyamuk' yang mungkin kita tidak kenali di sini. Tokoh-tokoh dari berbagai parti politik ditemubual. Iklan-iklan kempen bebas disiarkan sepenuhnya oleh tv dan akhbar di sana.
Begitu juga dalam kes 'Dukun As' yang dikatakan membunuh seramai 42 wanita bagi tujuan ilmu hitamnya. Disebalik berita-berita negatif tentang perbuatan terkutuknya itu, media di sana masih memberi peluang kepada Dukun As berkata sesuatu bagi mempertahankan dirinya dalam wawancara yang diadakan di bilik penjaranya. (Kini Dukun As telahpun dihukum mati).
Melihat daripada senario ini saya agak sangsi dengan kedudukan indeks kebebasan media yang dikeluarkan itu. Apapun kepada semua pengamal media bebas, selamat menyambut Hari Kebebasan Akhbar Sedunia!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan