Khamis, 28 Jun 2012

ABBY ABADI BERSERI-SERI DI MAJLIS PAS KEDAH


Berseri-seri wajah pelakon Abby Abadi yang dirakamkan ketika menghadiri satu majlis Himpunan Hijau Ke Putrajaya yang dianjurkan oleh PAS Kedah di Kompleks PAS Negeri Kedah.

Semoga Abby terus beristiqomah dalam perjuangan dan tidak gentar dengan cemohan dan kata nista dari puak-puak pencacai sebelah sana!

Jumaat, 22 Jun 2012

SAYA TIDAK TAKUT BIARPUN DIUGUT - DAYANGKU INTAN


“Saya tidak takut biar pun ada pihak mengugut. Kita hanya perlu takut kepada Allah Taala sahaja dan bukan takut kerana manusia.

“Biar pun berjuang bersama di pentas Pakatan Rakyat tanpa mendapat bayaran tetapi hati saya senang,” kata artis Dayangku Intan pada ceramah di Kampung Mahligai malam tadi.

Menurutnya tidak menjadi kesalahan untuk berjuang di pentas politik bagi menegakkan kebenaran.

Kata beliau ada rakan-rakan artis menanyakan tidak takutkah berjuang bersama Pakatan Rakyat, nanti susah hendak cari makan.

“Kamu artis hendaklah bangkit bagi menyuarakan hak. Sekarang artis tempatan tidak lagi mendapat keistimewaan berbanding artis yang didatangkan dari luar negara.

“Artis luar yang datang dibayar begitu mahal. Jadi kalau dilayan sebegitu rupa oleh kerajaan kita perlu bangkit bagi menyuarakan hak,” ujarnya pada ceramah di pentas PAS.

Program itu mendapat sambutan hangat apabila ramai hadir mendengar ceramah sulung artis terbabit di Kelantan, yang kini berjuang di pentas Pakatan Rakyat.

Orang ramai berderetan di atas tali air yang terletak bersebelahan tempat ceramah. Di hadapan pentas orang ramai melimpah.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Bachok, Datuk Omar Mohamad, Adun Jelawat, Abdul Azziz Kadir dan Ketua Penerangan PAS Kota Bharu, Nor Azariza Alawi.

Ramai muslimat turut mengambil peluang bersalam dan bergambar dengan Dayangku Intan sebaik selesai ceramah.

Dayangku mendakwa beliau pernah diundang menghadiri program di sebuah rancangan televisyen di mana program berkenaan mendapat banyak tajaan di kalangan pengiklan.

Kata beliau biar pun stesen televisyen terbabit mendapat banyak pendapatan melalui iklan, namun beliau sebagai tetamu yang diundang bercakap kira-kira 45 minit hanya dibayar RM100 sahaja.

Dayangku Intan yang datang bersama suami juga memberitahu sudah lama tidak membaca akhbar harian yang dimiliki Umno.

“Sekarang saya hanya baca akhbar diterbitkan PAS, PKR dan melayari internet sahaja bagi mengetahui perkembangan semasa.

“Sebenarnya di mana sahaja berada saya tetap bercakap mengenai isu rasuah yang begitu kronik berlaku dalam negara sekarang,” katanya.

Menurutnya rakyat sudah bosan dan inginkan perubahan dalam pentadbiran negara.

Sementara itu Abdul Azziz berkata, beliau sudah beberapa kali berusaha menjemput Dayangku hadir pada program di Bachok, namun hanya malam tadi yang menjadi kenyataan.

Manakala pada 28 Jun ini seorang lagi selebriti, Abby Abadi dijangka menemui peminat pada program Sembang Petang di Dewan Majlis Daerah Kuala Krai di Guchil, manakala pagi 29 Jun pula program di padang Majlis Daerah Pasir Puteh. -HD

Khamis, 21 Jun 2012

PELAKON HAIRIE OTHMAN DAN ZULKIFLI ISMAIL AKAN SERAH BORANG PAS 6 JULAI INI DI TAMAN MELEWAR!


Hairie Othman - pelakon yang berasal dari
negeri Kedah bakal sertai PAS pada 6 Julai 2012

Pelakon, seniman, sastrawan kini berbondong-bondong menyertai PAS dan yang terbaru, pelakon filem Leftenan Adnan, Hairie Othman pula akan menyertai PAS.

Menurut Hairie, beliau bersama-sama pelakon, Zulkifli Ismail akan menyerahkan borang permohonan keahlian kepada Timbalan Presiden PAS, Tuan Hj Mohammad Sabu dalam satu program di Taman Melewar, Gombak 6 julai ini.

Beliau tampil dalam siri ceramah PAS di Batu Gajah bersama Leman Raja Lawak yang baru sahaja sertai PAS, semalam.

Turut menyampaikan ceramah ialah Pengarang Berita Harakah,  Tarmizi Mat Jam, Setiausaha Pakatan Rakyat Perak, Dr Khairuddin Abdul Malik dan Bekas Setiausaha Dewan Negara, Salleh Bakar.

Dalam ucapan sulungnya di pentas PAS, Hairie berkata, faktor mendorongnya untuk menyertai PAS ialah atas kesedarannya sendiri.

"Tidak sesiapa yang mempengaruhi dan memaksa saya masuk perjuangan ini tetapi atas kesedaran saya sendiri," katanya di hadapan ratusan hadirin.

Zulkifli Ismail - pelakon siri Gerak Khas
dijangka akan turut sertai PAS
Katanya, ramai artis yang menyokong BN kerana untuk mencari 'makan' dan meneruskan karier dalam bidang hiburan.

Anak kelahiran Negeri Kedah ini sangat kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapha Mohamad yang mendakwa artis yang menyertai PAS ini bukanlah untuk berdakwah sebaliknya untuk berpolitik.

"Kenapa jika artis yang tidak sealiran dengan mereka dihina dan dijadikan isu sedangkan yang menyertai Umno tidak pula dibangkitkan?

"Saya telah memberikan komen tentang kenyataan menteri itu di facebook dan ramai yang menyokong komen saya itu," jelasnya.

Hairie berkata, ramai yang memberi sokongan kepadanya selepas komen-komennya dalam laman facebook seolah-olah pro kepada pembangkang.

"Ramai yang memberi sokongan dan mengajak saya sertai PAS dan hari ini, hari bersejarah saya berucap pertama kami dipentas PAS," katanya dalam nada gembira.

Beliau mengakui tindakan ini akan memberi kesan kepada karier lakonannya namun beliau sanggup menghadapinya.

"Kalau saya fikir dunia, saya tidak akan membuat keputusan menyertai perjuangan ini namun saya sanggup menerima risiko kerana yang memberi rezeki bukannya BN tetapi Allah ," jelasnya.

Hairi menjelaskan, umat Islam perlu mengetahui serta mengakui politik dan Islam tidak boleh dipisahkan.

Oleh itu, katanya Umat Islam perlulah menyokong parti yang memperjuangan Islam iaitu PAS dan menolak parti yang memperjuangkan assobiyyah.

"Saya akan bersama-sama membantu  dalam misi menawan Putrajaya dan saya sanggup untuk turun ke seluruh negara untuk bantu berkempen dan memberi ceramah kepada rakyat," jelasnya.

dari: Harakahdaily

Rabu, 20 Jun 2012

MANIFESTO SEMBILAN TONGGAK, TAWARAN PR KEPADA RAKYAT NEGERI SEMBILAN


Ayoh saudara-saudaraku di Tanah Beradat, Negeri Sembilan Darul Khusus! Bukalah mata dan hati!

Pakatan Rakyat Negeri Sembilan menzahirkan sembilan tonggak utama dalam manifesto yang bertemakan Prihatin Rakyat dalam menghadapi Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Manifesto bersama antara PAS, PKR dan DAP itu turut menekankan tanpa amalan rasuah jika Pakatan Rakyat berjaya menguasai negeri tersebut.

Sembilan tongak utama yang ditekankan adalah:

1. Rakyat itu tuan (pentadbiran dan kewangan awam)

Perkara yang wajibkan Menteri Besar dan Ahli Exco mengisytiharkan harta, memastikan kewangan negeri diuruskan secara berhemah dan tiada ketirisan dan pembaziran dalam belanjawan kerajaan.

Malah tonggak pertama ini juga turut mewujudkan 'enakmen kebebasan maklumat' bagi memberi akses kepada rakyat mendapatkan maklumat awam.

2. Rakyat nan senang dan sejahtera (ekonomi)

Perkara kedua ini telah menekankan pembangunan ekonomi dalam usaha merapatkan jurang pendapatan, selain itu juga ia turut mengutamakan projek dan kegiatan ekonomi yang boleh meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat secara langsung.

3. Rakyat nan bertelapak (tanah dan perumahan)

Tonggak ketiga ini adalah satu usaha terbaik dalam mengembalikan hak pemilikan tanah serta memastikan setiap rakyat dapat memiliki rumah sendiri.

Antara sasaran bagi tonggak ini adalah memberi milik kepada pemegang tanah TOL yang telah diusahakan atau diduduki selama 25 tahun ke atas kecuali bagi tanah rizab jalan, sungai dan seumpamanya.

Memperkasakan dasar penggantian tanah rizab Melayu yang diambil oleh kerajaan malah turut melindungi kepentingan dan kedudukan Orang Asal.

4. Rakyat nan berilmu (pendidikan)

Mewujudkan skim bantuan pendidikan bagi memastikan setiap anak warga Negeri Sembilan mendapat pendidikan sekurang-kurangnya sehingga ke peringkat SPM, dalam pada itu bantuan secara sistematik turut diberikan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan juga sekolah-sekolah tinggi persendirian.

Sumbangan sebanyak RM1,500 kepada pelajar yang berjaya mengikuti ijazah pertama dan RM1,000 bagi diploma di IPTA dan IPTS yang diiktiraf.

5. Rakyat nan berakhlak (Islam dan pendidikan Islam)

Antara yang ditekankan dalam tonggak ini adalah menaikkan elaun guru KAFA kepada RM1,000 sebulan dan memberi elaun RM250 sebulan kepada guru Al Quran, malah dalam urusan zakat juga turut diperkemaskan agar sistem pungutan dan agihan zakat menjadi satu instrumen pembasmi kemiskinan.

Bagi agama-agama lain portfolio hal ehwal bukan Islam diwujudkan dam peruntukan tahunan kepada badan-badan induk agama bukan Islam turut diberikan.

6. Rakyat nan aman dan mencintai alam (keselamatan, jenayah, gejala sosial dan alam sekitar)

Memperkasakan mekanisma penguatkuasaan undang-undang dan peraturan keselamatan bagi membendung jenayah dan gejala sosial.

Memberi insentif kepada majikan yang menyediakan kemudahan pengangkutan kepada pekerja wanita yang bekerja syif malam bagi menjaga keselamatan mereka.

7. Rakyat nan selesa (infrastruktur dan kemudahan awam)

Memastikan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih berkesan untuk penduduk bandar dan luar bandar, peningktan mutu jalan raya juga turut ditekankan.

8. Wanita dimartabatkan, rakyat nan muda disayangi, nan dizalimi dibela dan nan tua disantuni (wanita dan keluarga, anak muda, peneroka dan kebajikan)

Dalam usaha menaikkan martabat wanita bantuan sebanyak RM500 setahun diberikan kepada ibu-ibu tunggal yang layak selain menubuhkan dana usahawan wanita bagi membantu wanita menceburi bidang perindustrian.

Manakala untuk anak muda pusat perniagaan dan kebudayaan untuk anak muda diwujudkan. Bagi peneroka Felda, pengeluaran geran tanah dipercepatkan bagi peneroka yang telah melunaskan hutang kepada Felda.

Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) tidak ketinggalan apabila sistem bantuan kebajikan diperkasakan selain mengalakkan majikan di sektor awam dan swasta memberi pertimbangan istimewa kepada OKU di dalam pengambilan pekerja.

9. Rakyat nan berbudaya dan beradat (seni budaya dan adat)

Antara lain dalam tonggak terakhir ini adalah menubuhkan Perbadanan pembangunan Tanah Adat bagi membangunkan tanah adat yang terbiar.

Menaikkan elaun Datok Lembaga Adat kepada RM1,000 sebulan dan memberi elaun sebanyak RM250 sebulan kepada Buapak-Buapak serta menubuhkan institusi bagi memperkasakan adat perpatih.

Khamis, 14 Jun 2012

RAPUHNYA KERAJAAN, DENGAN BOTOL AIR MINERALPUN BOLEH TUMBANG!

Maka bermadahlah akan seorang memanda menteri dari negeri antah-berantah, "Botol air dan garam boleh menumbangkan kerajaan...!"

Aku tak tahu, sama ada nak ketawa ataupun nak menangis dengan omelan yang keluar dari mulut sang menteri ini ..... Betapa rapuhnya kerajaan yang ada....



OLEH ITU AYUH WAHAI RAKYAT JELATA SEKALIAN .... KITA TUMBANGKAN KERAJAAN YANG RAPUH DAN KITYA DIRIKAN KERAJAAN YANG TEGAP DAN MANTAP SELEPAS PRU 13!!

Isnin, 11 Jun 2012

SAYANG SEKALI JIHAN TIDAK BERSAMA LAGI DENGAN KAROOT KOMEDIA X

Aku tidak mahu membohongi diri sendiri! Sememangnya aku merupakan diantara sekian ramai orang yang menggemari siri komedi kesukaan ramai Karoot Komedia yang dihoskan oleh Sabree Yunus. Rancangan yang berjaya mengangkat Dikir Barat menjadi medium hiburan terkini (yang tidak hanya digemari dan difahami oleh orang pantai timur) begitu mengujakan sekali dengan sketsa spontan oleh para pelawak baru dan lama.

Tidak syak lagi lakonan komedi yang mantap oleh gabungan Eby Yus, Yus, Johan, Jep Sepah dan Jihan berjaya menghidupkan Karoot Komedia, dan menjadikan aku ternanti-nanti akan kemunculan musim barunya, Karoot Komedia X.

Namun apabila siri tersebut mula menjengah penonton pada malam Jumaat lepas, aku merasa agak hampa apabila salah seorang yang aku rasakan begitu berjaya menjadi penyeri Karoot Komedia, Jihan tidak kelihatan. Pada mulanya aku menyangkakan ketiadaannya hanya sementara, sebagaimana Jep yang digantikan oleh Suib.Tapi bila mendengar siaran radio Sinar fm pagi tadi aku agak tersentak apabila Yus yang menjadi tetamu jemputan Krill dan SY menyatakan Jihan dan "out" dari Karoot Komedia X!

Aku merasa agak hampa apabila seorang pelakon komedi wanita yang begitu bersahaja, tanpa menghodohkan diri dengan mimik muka atau kata-kata, yang 'cun' telah terkeluar dari siri popular ini. Ya......mungkin aku tidak akan jadi lagi penggemar Karoot Komedia X ini.....

Isnin, 4 Jun 2012

RAMAI YANG TIDAK TAHU, TAPI SAYA TAHU - KATA ANNUAR MUSA


Saya tahu rancangan menyekat saya bermula seawal saya dicalunkan sebagai Timbalan Presiden FAM. Saya tahu, urusetia tidak pernah NEUTRAL , malah mereka pernah buat pengakuan pada saya bahawa mereka terpaksa!

Ramai yang tidak tahu bagaimana saya dilayan sejak saya buat kejutan dengan memenangi jawatan Timbalan walau pihak lain cuba berkonspirasi.

Ramai yang tidak tahu saya dilayan macam budak-budak....Ramai yang tidak tahu saya tiada ofis, tiada kerusi atau meja di Wisma FAM yang serba mewah bagi beberapa orang tertentu.

Ramai yang tidak tahu bagaimana minit mesyuarat sering dipinda dari apa yang diputuskan ....

Ramai yang tidak tahu beberapa keputusan exco diVETO di luar mesyuarat .... Ramai tidak tahu ahli exco tidak dilayan urusetia kecuali sekerat dua sahaja ....

Ramai yang tidak tahu selepas saya dan CEO MSL selesai mendapatkan tajaan RM120 juta, saya dan stuart mula dihimpit pelbagai tekanan dan halangan untuk berfungsi ...

Ramai tidak tahu apabila beberapa pembaharuan dan penjimatan nak dibuat dan menjejaskan comfort dan benefit pihak tertentu, maka konspirasi pun bermula untuk melindunginya ...

Penggantungan saya adalah perkara yang diarah dan dirancang ... Saya akan buktikan ... Mereka menutup semua pintu diplomasi dan perbincangan bersemuka ...

Tidak mengapa ... kerana itu mempercepat terbukanya pintu mahkamah ... saya tahu saya keseorangan.

Tapi saya berikrar, saya bersedia hilang semua kedudukan dalam bolasepak Malaysia.

Tetapi segala yang berlaku dan ujud akan saya ketengahkan without any fear ...

Bila mereka menolak saya keluar maka halallah penentangan saya dari luar pula .... Insya’ Allah minggu depan saya akan buat satu kenyataan penting ...

Jumaat, 1 Jun 2012

RM2 JUTA UNTUK BAWA ARTIS K-POP KE HIMPUNAN BELIA?


Harakahdaily,
01 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Seorang blogger, Amno World mendakwa dalam blognya, Kerajaan Malaysia membayar RM2 juta untuk membawa artis dari Korea, K-Pop ke himpunan belia di Putrajaya baru-baru ini.

Dengan menunjukkan resit tuntutan dari pembekal untuk program ini, blog itu menunjukkan senarai tuntutan yang dihantar kepada Kementerian Belia dan Sukan.

Bagaimanapun Harakahdaily tidak dapat pastikan adakah bil tuntutan dari syarikat StadiumFirst Sdn Bhd ini benar atau tidak.

Dalam tuntutan itu bertarikh 21 Mei itu, StadiumFirst menuntut 70 peratus dari bayaran penganjuran Himpunan Sejuta Belia itu dari kementerian yang diterajui Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek itu.


Tuntutan itu dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Kementerian itu, Datuk
Mohid Mohamed untuk Hari Belia Negara 2012 berjumlah RM15.1 juta.

Tindakan kerajaan BN memasukkan persembahan K-Pop disifatkan sebagai satu tindakan melampau demi untuk menarik golongan belia ke perhimpunan itu.

Ia telah mendapat bantahan hatta dari Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria yang terkenal dengan pandangan yang selalu bersama Umno itu.

Yang dikesali adalah tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek yang turut terkinja-kinja bersama artis yang hanya memakai seluar yang hampir ke pangkal paha itu.

"Najib saya faham tetapi Shabery yang pernah menjadi Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) ketika belajar dulu amat tidak difahami," kata seorang bekas pelajar UM kepada Harakahdaily.

Bagi beliau, tindakan membelanjakan RM2 juta untuk membawa artis K-Pop bagi menarik belia ke perhimpunan ini satu yang sangat tidak boleh diterima.

"Ketika Shabery menjadi Menteri Belia dan Sukan, saya berharap beliau membawa nafas baru kepada belia negara tetapi nampaknya beliau lebih membenam mereka ke kancah hiburan yang tidak sesuai dengan budaya kita apatah lagi agama kita," kata beliau lagi.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...