Khamis, 21 Januari 2010

Artis, lupakanlah fesyen Bohemian

Herman Samsudeen Jan 4, 10 10:52am
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyeru kepada artis-artis Islam di Malaysia supaya meninggalkan fesyen Bohemian dan pelbagai lagi fesyen yang pelik-pelik yang tidak menggambarkan jati diri mereka yang sebenar.

DPPWP berasa sedih kerana ketidakfahaman yang dilalui oleh ramai artis Malaysia menjadikan mereka begitu mudah terjebak dengan industri fesyen yang makin mengarut hari ini.

Sebagai umat Islam dan tokoh umum, mereka sewajarnya menunjukkan contoh dan pemakaian yang baik agar tidak mengundang fitnah kepada diri serta masyarakat Islam umumnya.

Dunia fesyen hari semakin jauh menyimpang dan kebanyakannya mengeksploitasi artis Malaysia yang dilihat berpakaian tetapi sebenarnya telanjang (tidak menutup aurat) seperti yang pernah diungkapkan oleh Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya." [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Setiap umat Islam mempunyai hak untuk memakai apa sahaja, tetapi Islam juga mempunyai hak ke atas mereka untuk mendidik kod etika berpakaian yang betul agar mereka tidak disamakan dengan artis yang bukan Islam.

Allah berfirman dalam Al-Quran: "Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang." [Al Ahzab 33:59].

Sesungguhnya, telah banyak peringatan yang Allah beri, tetapi mungkin artis-artis ini tidak tahu, oleh itu menjadi kewajipan untuk DPPWP menegur mereka dan berkongsi peringatan dari Rasulullah kepada anaknya iaitu:

"Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya" [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Sesungguhnya Islam tidak melarang fesyen untuk wanita Islam tetapi biarlah fesyen itu melindungi mereka daripada fitnah dan bahaya jenayah rogol.

DPPWP memahami bahawa dunia artis merupakan periuk nasi mereka, tetapi janganlah kerana keperluan itu mereka sanggup untuk dieksploitasikan sedemikian rupa.

Daripada Aisyah bahawa Nabi bersabda:

"Barangsiapa yang mencari redha Allah dengan marahnya manusia, maka dia akan dicukupkan perbelanjaan manusia dan barangsiapa yang mencari kemarahan Allah dengan relanya manusia nescaya dia diserahkan oleh Allah kepada manusia."

Maka DPPWP sekali lagi mengajak artis-artis Malaysia agar kembali menjadi contoh mukmin dan mukminah yang baik bagi mengangkat martabat diri mereka dan umat Islam keseluruhannya.


Herman Samsudeen timbalan ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...