Isnin, 18 Januari 2010

Perjuangan dan kelangsungan dunia sastera Melayu

Oleh LOQMAN HAKIM

TENTUNYA tahun 2003 lalu dan abad 21 ini merupakan detik manis bagi Dr. Syed Othman Syed Omar apabila dinobatkan Sasterawan Negara. Selepas lebih 30 tahun bergelumang sebagai seorang penulis dan ahli akademik ? menghasilkan 11 novel biasa, empat novel remaja, 184 cerpen dan 364 esei/kritikan sastera ? beliau masih terus bertahan.
Lebih dikenali dengan nama S. Othman Kelantan, beliau membuktikan usia dan perubahan zaman tidak membataskan kemampuannya untuk terus berkarya.
Di sebalik mengiktiraf beliau, abad 21 tidak menjanjikan sebarang kemegahan kepada perjuangan sastera dan bahasa Melayu seandainya para penggiat dan pencintanya tidak bersikap dinamik dan tuntas bergerak mengikut peredaran zaman.
Ternyata perubahan dan cabaran yang perlu dihadapi lebih besar, sama ada dalam negara, serantau dan juga antarabangsa. Dan seandainya sastera negara ini masih bergelumang dengan penulis dan karya yang ada, maka tidak menghairankan bahawa sebenarnya sastera Melayu bersifat statik.
Sepanjang tahun 2003 lalu, beberapa sayembara penulisan seperti Novel Alaf Baru, Peraduan Menulis Cerpen dan Puisi Pelbagai Kaum, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan serta sejumlah peraduan dan anugerah sastera anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), swasta dan persatuan penulis tidak bermakna akan melahirkan penulis dan karya besar.
Biarpun tarikan hadiah kemenangannya dianggap lumayan sehingga mencecah puluhan ribu ringgit, ia tidak memberi sebarang makna apabila karya itu sekadar megah dengan nobat kemenangan. Pada masa yang sama, nasibnya juga tidak ubah seperti karya-karya lain yang tidak dibaca oleh masyarakat dan jualannya pula, menyedihkan.
Fenomena ini merupakan suatu malapetaka kepada dunia sastera Melayu kerana tanpa khalayak yang besar, sastera yang dicanangkan sebagai pencetus pemikiran besar negara dan manusianya, tidak lebih daripada ungkapan akademik berbaur retorik.
Karya atau penulis besar tidak semestinya; malah lazimnya; tidak lahir daripada sayembara penulisan, sebaliknya iltizam dan kesungguhan penulis dalam memenuhi tuntutan berkarya.
Dalam konteks kesusasteraan negara ini, sayembara seolah-olah menjadi katalis kepada penulis, sama ada veteran atau kawalan serta penulis muda dan baru yang masih bertatih. Hinggakan prestij bakat diukur bersandarkan kepada anugerah yang dinilai daripada sayembara penulisan.
Dan, apakah signifikan bagi DBP berterusan menganjur pelbagai pertandingan yang biasanya dikaitkan dengan usaha melahirkan karya-karya bermutu tetapi tidak pernah menguja khalayak membaca. Juga sejauh manakah karya tersebut menarik perhatian pengkritik.
Memadai kah dengan usaha seperti ini dianggap sudah melaksanakannya, sedangkan sastera Melayu dan hanya tidak berupaya mencapai pengiktirafan yang lebih besar daripada Anugerah Sastera Negara atau Hadiah Sastera Malaysia.
Biarpun beberapa buku sastera Melayu telah diterjemahkan ke bahasa-bahasa asing, ia masih tidak mendapat tempat atau pengiktirafan yang besar di gelanggang antarabangsa ? suatu keadaan yang nyata bertentangan sekali dengan pencapaian negara dalam bidang-bidang lain yang mencapai tahap dunia.
Hakikat duka
Nasib malang sastera Melayu sebenarnya tidak pernah menjadi lebih baik, sebagaimana nasib penulis atau penggiatnya yang tidak mencapai tahap atau status glamor atau popular.
Malah statusnya sebagai satu mata pelajaran di sekolah suatu ketika dulu, turun kepada sebahagian komponen mata pelajaran Bahasa Melayu adalah satu tamparan dan hakikat duka yang perlu ditelan, bagai menelan duri tajam.
Lebih memburukkan lagi keadaan apabila para guru mata pelajaran bahasa ini sebenarnya tidak mempunyai minat langsung terhadap kesusasteraan bangsanya sendiri. Lantaran itu juga, tidak menghairankan sistem pendidikan negara selama ini pernah tidak menghasilkan kelompok penulis dan khalayak sastera yang besar.
Lalu, apakah yang telah dilakukan untuk lebih memartabatkan sastera Melayu. Hakikatnya, badan-badan yang menjadi pendukung sastera terlalu sibuk dengan masalah dan urusannya sendiri.
DBP kelihatan lebih memperjuangkan bahasa Melayu di peringkat negeri dan nasional dengan pelbagai kempen, yang nampaknya tidak membuahkan hasil dan kecintaan untuk menggunakannya secara lebih giat dalam pelbagai bidang strategik. Malah kedudukan bahasa itu sendiri semakin tercabar dengan perubahan dasar.
Dalam tempoh sedekad ini juga badan berkanun ini lebih giat menggerakkan usaha perkembangan bahasa dan pengajian Melayu pada peringkat antarabangsa.
Namun apakah sasaran yang pernah ditetapkan oleh DBP untuk menjadikan bahasa kebangsaan ini sebagai bahasa kegunaan serantau dan peringkat dunia seperti di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjadi kenyataan.
Jika disandarkan pada hujah bahawa pengembangan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa akan meningkatkan martabat sastera Melayu, ternyata usaha badan ini tidak memungkinkan suatu hasil yang boleh dibanggakan.
Demikian juga sekian banyak seminar dan persidangan sastera peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa yang dianjurkan masih tidak mengajakkan kedudukan sastera. Sewajarnya pertemuan seperti ini memberikan impak dan pengertian kepada pembinaan sastera Melayu, namun, sehingga kini, tidak ada hasil yang boleh dibanggakan.
Yang pasti ialah dunia akademik dan ilmiah yang mengisi pertemuan itu tidak upaya menggerakkan sastera dan pada suatu tahap seolah-olah ia sendiri terpisah terus daripada kreativiti penulisan sastera.
Pada masa yang sama, apakah pula peranan yang dimainkan oleh persatuan penulis yang bertebaran di seluruh negara. Masih bersifat kenegerian tanpa taring untuk menyengat dan tidak lebih menjadi satu forum percaturan politik berpersatuan yang terlupa agenda sastera.
Gapena selaku badan induk persatuan penulis pula perlu melakukan sesuatu dengan tidak membataskan kegiatan pada Sayembara Deklamasi Puisi, atau pencarian Melayunya di merata dunia semata-mata.
Tidak dinafikan pengukuhan jaringan hubungan berasaskan rasa keturunan memberikan nilai dan pengertian sentimental, tapi sejauh manakah pengisiannya benar-benar memberikan suatu signifikan ? kepada bahasa dan sastera.
Dalam dunia yang berteraskan hasil, sastera Melayu tidak cukup untuk hidup dengan segala perancangan yang kelihatan sempurna di atas kertas. Keinginan menaikkannya tidak terletak pada bahu penulis semata-mata, lantaran itu menghendaki peranan khalayak dan keinginan politik.
Atau, sekali lagi sastera Melayu akan menjadi kembang tidak jadi dan julang tidak tinggi lantaran kegagalan semua pihak terlibat menjadi tenaga penjananya.

(Sumber : Berita Harian (04/01/2004) )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...