Rabu, 13 Januari 2010

Bekas pelakon ‘Opah’ bebas tuduhan rasuah


KUALA  LUMPUR, 13 Jan – Bekas pengurus Perbadanan Stadium Merdeka, Abu Bakar Kasim, hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada tiga tuduhan rasuah menggunakan jawatannya bagi memilih syarikat untuk kerja membaik pulih Stadium Nasional Bukit Jalil bernilai RM26,756.60.
Hakim Fathiyah Idris membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan setelah mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie.
Abu Bakar, 62, yang juga merupakan pelakon drama bersiri popular “Opah” sekitar tahun 80-an, didakwa telah memilih Syarikat Tangkas Timur Sdn Bhd untuk  menjalankan kerja membaiki dan menggantikan “part trolley” olahraga di Stadium Nasional yang bernilai RM11,130.60 di mana abang iparnya,  Abu Hasan Lakim, adalah pemegang saham dalam syarikat tersebut.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 14 Jan 1999 di Pejabat Perbadanan Stadium Merdeka, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil di sini.
Abu Bakar juga didakwa telah memilih syarikat yang sama untuk kerja membekal dan memasang mentol lampu di Pusat Skuasy Nasional bernilai RM3,326 di tempat yang sama pada 15 Jan 1999, dan sekali lagi didakwa telah menggunakan jawatannya itu pada 16 Jan 1999 untuk memilih syarikat yang sama bagi kerja membekalkan karpet merah bernilai RM12,300 di Stadium Nasional.
Dalam penghakimannya, Fathiyah berkata pihak pendakwaan perlu membuktikan tertuduh memperoleh suapan dengan cara memilih syarikat terbabit.
Bagaimanapun, katanya, setelah meneliti keterangan semua saksi terutamanya dua pegawai dari Perbadanan Stadium Merdeka tiada keterangan yang menunjukkan Abu Bakar memperoleh sebarang suapan daripada syarikat terbabit selepas memilihnya.
Hakim berkata pengadu kes itu ialah Mazlan Kadir tetapi beliau tidak pernah dipanggil, sebaliknya Mazlan Che Soh yang merupakan penolong pengurus bahagian penyelenggaraan stadium yang bertugas di bawah tertuduh, pula memberi keterangan.
"Ketiadaan keterangan daripada Mazlan Kadir itu menimbulkan persoalan siapakah sebenarnya pengadu antara kedua mereka," kata Fathiyah.
Katanya Syarikat Tangkas Timur Sdn Bhd tersenarai sebagai syarikat kontraktor stadium tersebut kerana memberikan sebut harga harga yang rendah manakala prosedur pemilihan kontraktor dibuat secara teratur seperti yang ditetapkan oleh Perbadanan Stadium dan kerja yang disebut dalam pertuduhan telah disiapkan oleh syarikat itu.
Abu Bakar yang sudah bersara wajib pada 21 Mac 2004 kini mengusahakan  perniagaan sendiri.
Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, beliau berkata: "Syukur Alhamdulillah kerana tekanan yang saya tanggung selepas enam tahun kes berjalan kini telah selesai." — Bernama

3 ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...