Andai mahu memahami semua peristiwa yang berlaku sejak dua dekad lepas dan membentuk dunia hari ini secara jenaka, novel The Merchant King karya wartawan India, Shakir Hussain adalah pilihan terbaik.
Buku ini yang mencerminkan kehidupannya sebagai wartawan selama 14 tahun di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), merakam peristiwa besar dunia sejak pembebasan Nelson Mandela yang dipenjarakan selama 27 tahun sehingga krisis kewangan global baru-baru ini.
Ketika di UAE, Shakir berkerja untuk Yahoo, Gulf News dan The Gulf Today selain pemberita sambilan Bernama.
Dalam temu bual dengan Bernama di New Delhi, Shakir berkata beliau mengambil masa empat tahun untuk menyiapkan buku itu dengan sebahagian besar masa dihabiskan bagi membentuk watak, peranan mereka dan mengaitkannya dengan isu tertentu dunia tanpa merujuk secara spesifik.
Kisah bermula dengan seorang putera raja bercita-cita tinggi bernama Saqr dari sebuah negara dikenali Balad (bahasa Arab yang secara harfiah bermakna negara), yang belajar di London dan berhasrat kembali untuk memodenkan negaranya di sebuah rantau yang tidak ditentukan sama ada Afrika atau Asia.
Seperti nama negara, pelbagai akronim melucukan ditemui dalam buku itu antaranya sistem keselamatan dalam negeri "Management of Armed Defence, National Emergencies and State Security " atau "MADNESS" (kegilaan) dan syarikat minyak "Big Oil and Gas Upstream Services" atau 'Bogus' (palsu), serta bank "Big Bucks and Borrow & Spend".
Buku itu dipenuhi jenaka yang membuatkan pembaca terhibur dan pada masa yang sama turut mengutarakan cabaran yang dihadapi dunia.
"Kita semua hidup dalam keadaan itu...fahaman ketenteraan, perkauman, pemerintahan kuku besi dan manipulasi yang berterusan. Ini adalah kisah yang kita lihat setiap hari," katanya.
Sekalipun pembaca dapat mengaitkan senario di dalam buku dengan kejadian sebenar, namun tidak ada hubungan langsung kepada personaliti atau negara tertentu, kata Shakir.
Merupakan peminat bekas perdana menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau turut memasukkan isu seperti globalisasi dan perang mata wang di dalam bukunya.
"Dr Mahathir sering berkata globalisasi tidak wajar sekadar mengenai pergerakan modal semata-mata, jika anda percaya dengan globalisasi sebenar orang ramai sepatutnya dapat bergerak bebas...di sesetengah negara ada halangan namun bercakap mengenai globalisasi," katanya dan menambah perkara itu turut digambarkan di dalam buku tersebut.
Shakir yang sedang mencari penerbit di luar India, berasakan semua lapisan masyarakat akan terhibur dengan buku tersebut berdasarkan jalan ceritanya sahaja, namun bagi yang berminat dengan politik, "mereka akan benar-benar menyukainya".
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan