Dalam sejarah perubahan tamadun dunia dan siasah tidak kira sama ada era perang dunia, revolusi atau reformasi- satu cabang yang turut dibawa bersama dalam sesebuah perjuangan sehingga meraih kemenangan ialah melalui "kesenian dan kebudayaan".
Ini kerana seni dan budaya merupakan makanan jiwa dan fitrah bagi manusia. Kelahiran manusia itu sendiri adalah suatu seni perjuangan. Berenangnya sperma mencari ovum adalah simbol sebuah perjuangan manakala pembentukan benih menjadi janin sehingga lahir sebagai manusia itu adalah sebuah karya seni hebat yang sangat menakjubkan. Persekitaran membentuk manusia mengamalkan cara hidup yang lama-kelamaan berkembang menjadi sebuah budaya. Justeru, untuk melaksanakan perubahan total dalam sesebuah daulah tidak dapat tidak harus menggabungjalinkan elemen seni dan kebudayaan sebagai salah satu agennya.
Kebobrokan sistem pemerintahan di Malaysia yang semakin parah mendorong rakyat bangkit berani untuk menuntut perubahan. Rakyat Malaysia masih menaruh kepercayaan perubahan itu mampu dilakukan di dalam pilihanraya maka sokongan mereka beralih kepada parti politik alternatif. Tuntutan perubahan ini juga turut melibatkan golongan seniman, karyawan ataupun selebriti dunia hiburan tanahair. Fenomena ini dapat dilihat jelas sejak akhir-akhir ini apabila golongan ini sudah berani tampil di atas pentas-pentas program anjuran Pakatan Rakyat. Ramai juga yang mengisytiharkan diri menyertai partai politik. Ini suatu perkembangan yang sangat baik. Kehadiran mereka yang memang mempunyai tarikan dan pengaruh kepada masyarakat sebelum ini seakan menjadi katalis untuk terus berjuang dan menjadi bonus untuk sesebuah partai politik meraih sokongan. Sayangnya penyertaan hangat mereka kemudiannya menjadi sejuk setelah beberapa ketika dan impaknya pula tidaklah mencetuskan sebuah gelombang. Ini kerana kebanyakan mereka yang menyertai Pakatan Rakyat mengambil langkah yang serupa dengan ahli politik yang sedia ada iaitu berceramah. Mereka kebanyakannya telah pun tidak aktif lagi berkarya dan sebahagiannya pula ketika berceramah lebih banyak menceritakan "kejahilan" mereka pada masa lalu sebelum "kembali ke pangkal jalan" menyertai parti politik Pakatan Rakyat.
Seni dan glamour dua benda berbeza. Seni itu suci. Rasulullah S.A.W berpesan kepada sahabatnya Hassan bin Tsabit sang penyair, "Musuh menyerang dengan busur dan panah. Seranglah mereka dengan syair-syair kamu". Mesej yang cuba disampaikan oleh Rasulullah ini jelas - bukanlah suatu dosa menjadi seniman malah bakat istimewa kurniaan Allah itu wajib digunakan sepenuhnya untuk memperjuangkan kebenaran. Yang salah dan sesat adalah silap seniman itu sendiri lantaran gagal dan hanyut dengan pujian seta sanjungan yang mengkhayalkan. Allah menjadikan manusia dengan sejuta keistimewaan dan dengan keistimewaan itulah ia wajib dimanfaatkan oleh insan yang dipertanggungjawabkan sebagai khalifah pentadbir alam. Seni adalah anugerah yang ajaib. Dalam sesebuah peperangan, lagu dan muzik akan dimainkan untuk menaikkan semangat. Malah ketika hari raya Idul Fitri di zaman Rasulullah, acara tarian pedang dipersembahkan sebagai sebuah persembahan kebudayaan. Rombongan hijrah Rasulullah ke Madinah juga telah disambut oleh penduduknya dengan nyanyian diiringi pukulan tabuh dan rebana. Begitulah pengaruh seni dan budaya di dalam kehidupan.
Seniman harus setapak lebih awal langkahnya daripada rakyat biasa. Naluri kesenimanannya harus lebih peka mengesan kepincangan persekitaran dan dengan bakat istimewa seniman itulah karya dihasilkan untuk menyedarkan rakyat. Kemunculan para artis di pentas politik untuk berceramah tidak membantu mengembangkan satu lagi jalur perjuangan. Mentelah pula kebanyakan artis ini sudah melewati zaman kegemilangan mereka dan peminat-peminat seangkatan mereka pula sudah lama menjadi "orang baik" iaitu sudah berkahwin, berkeluarga dan kurang keluar bersosial. Peminat-peminat mereka sudah lebih awal "kembali ke pangkal jalan" (mengikut istilah yang selalu mereka gunakan) sebelum mereka lagi. Artis-artis ini tidak perlu berceramah tetapi dirasakan akan lebih hebat jika mereka terus berkarya, mendidik masyarakat tentang seni yang sihat, menghasilkan lagu dan lirik yang mengajak manusia berjuang menegakkan kebenaran dan membenci kezaliman. Bukan tidak ada karya-karya mereka dahulu yang sebegitu tetapi sudah tentulah tidak disiarkan oleh media arus perdana yang lebih suka dengan hiburan kosong dan lembik. Kesempatan inilah yang harus diambil untuk mendekati rakan artis yang lain, yang lebih muda dan berpengaruh untuk menghayati apa yang cuba diperjuangkan.
Golongan artis yang beralih ke medan perjuangan ini harus membuka ruang dan membina acuan kesenian dan kebudayaan yang "baru" untuk rakyat Malaysia agar mereka sedar dan tidak menganggap dunia hiburan ini hanya penuh dengan glamour sahaja. Kumpulkan artis, seniman dan karyawan yang bersama mereka hari ini dan hasilkanlah karya yang jujur. Lagu, lukisan, filem, teater dan berbagai kegiatan seni harus diperbanyakkan dan diperluaskan. Seniman tidak semestinya menyertai partai politik. Ia akan jadi sempit. Karya yang akan lahir cakupannya akan jadi kecil. Mereka perlu meneroka ruang baru.
Lihatlah seniman dan karyawan yang konsisten sejak dahulu menghasilkan karya-karya melawan. Mereka tidak berceramah tetapi menghantar mesej perjuangan dengan seni kreatif. Hishamuddin Rais pernah menghasilkan teater "Tok Ampoo", "Tok Sloo", "Bilik Sulit" dan filem "Dari Jemapoh ke Manchestee". Amir Muhammad dan Fahmi Reza terus menghasilkan dokumentari dan filem pendek.
Malah Fahmi Reza seperti membuka ruang baru dengan pengikut tersendiri melalui acara Occupy Dataran - iaitu duduk santai berdiskusi di Dataran Merdeka sehingga mengundang resah pemerintah. Begitu juga Rahmat Haron, Buddhi Hekayat (Hasmi Hashim), Fared Ayam, Pyanhabib atau Dinsman dengan sajak-sajak mereka yang menyengat dan sinis. Black (Amin Iskandar) dan Nikjidan pernah menghasilkan album kritik sosial dan mereka naik ke pentas dengan gitar, turun berdemonstrasi sebagai seniman menyanyikan lagu-lagu perjuangan. Selain itu ada juga band Dum Dum Tak, Carburetor Dung ataupun Seni Suri Jawi yang menghasilkan lagu-lagu perjuangan mengikut genre mereka. Tidak perlu berceramah. Lagu, puisi, lukisan, filem dan teater juga ibarat api yang bisa meresap ke urat nadi membakar semangat.
Lihat saja bagaimana Sasterawan Negara A.Samad Said (gambar kiri) hari ini diangkat sebagai ikon perjuangan dan dihormati seluruh rakyat Malaysia berbagai lapisan kaum dan peringkat umur kerana "seni" yang dibawa oleh beliau. Pak Samad bukan politisi, beliau terus berpuisi di hadapan khalayak dan sangat yakin dengan peranannya sebagai seniman yang bertanggungjawab menyuluh jalan perjuangan kepada rakyat. Hari ini rakyat mula sedar dan menerima puisi sebagai satu senjata perjuangan.
Ini suatu dalil jelas bahawa seni mampu menggugat sebuah kerajaan yang zalim dan fahaman ini jika dibaja dan dibentuk dengan tersusun oleh gerakan seniman tidak mustahil kerajaan Barisan Nasional akan jatuh dengan lebih cepat. Mungkin agak keterlaluan untuk menyamakannya dengan gerakan Revolusi Kebudayaan cetusan Mao Zedong (tentulah konsepnya juga jauh amat berbeza) tetapi tidak salah kalau gerakan ini digelar "Rusuhan Seni".
*Ronasina dengan nama asalnya, Mohd Affandi Ramli adalah penulis, kartunis dan aktivis.
dari: Merdekareview
Tiada ulasan:
Catat Ulasan