Jumaat, 27 April 2012

TERHARU, DUA ORANG BUTA TURUT HADIR KE CERAMAH BERSIH DI BANDAR TUN RAZAK!

Malam tadi aku berseorangan diri, seperti selalunya, ke tapak ceramah sempena BERSIH 3.0 bertempat di kawasan padang Flet Sri Labuan, Bandar Tun Razak. Memang kalau ke tempat ceramah aku terhitung orang yang paling awal sampai untuk mengelakkan kesukaran memakir kereta.

Sementara menunggu ceramah bermula, aku ke warung mee sup untuk melapik perut. Sambil menjamah makanan yang terhidang mataku memerhati persekitaran. Terlihat olehku kelibat dua orang cacat penglihatan yang saling berpimpin tangan memasuki warung tempat aku menjamu selera.

Dengan bersusah payah kedua-dua mereka masuk sambil dipimpin oleh salah seorang pekerja warung tersebut. Mereka duduk dan memesan dua mangkuk kuetiau sup. Sambil menunggu makanan sampai mereka berdua bersembang, perkataan yang jelas kedengaran ditelingaku ialah BERSIH, DBKL.....kemudian mereka ketawa sinis!

Selepas menjamu selera aku mula memasuki kawasan ceramah, yang masih belum ramai. Kedua-dua lelaki buta tersebut juga masuk ke kawasan tapak ceramah. Seorang petugas yang memakai baju kuning BERSIH 3.0 membantu mereka memasuki kawasan tersebut.

Aku terharu melihat kelibat mereka! Dalam keadaan yang tidak dapat melihat, tetapi hati mereka celik, celik terhadap ketidakadilan dan kebobrokan politik yang berlaku sekarang. Tanpa ditemani oleh sesiapa, kedua-dua mereka bersusah payah untuk turut sama mendengar para pemimpin menyampaikan hujah!

Aku tidak pasti sama ada kedua-dua mereka akan turut menguningkan Kuala Lumpur besok petang. Tetapi yang pastinya, semangat mereka berdua amat-amat mengharukan jiwaku!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...